skip to main
|
skip to sidebar
Saya mengenali sidia di laman muka buku (FB). Kami tidak pernah berbual
namun suatu hari dia muncul langsung melamar saya. Waktu itu saya solo
dan tanpa fikir panjang saya setuju. (Saya tidak fikir yang hubungan kami akan
menjadi serius).
Kali pertama kami bersua, saya memang
terkejut, kerana selama ini dia tak pernah memaparkan wajahnya di laman FB. Handsome! Chinese look. Saya geletar, menggelabah habis.
Dalam hati saya berkata “Ini adalah kali terakhir dia jumpa aku, sebab
aku dengan dia memang tak sesuai, aku ni gemuk, buruk”.
Anehnya, dia tak lari. Mungkin sebab
dia segan atau dia pun panik, dia tersenyum dan setiap kali dia
senyum matanya seolah terpancar 'shining'. Hehe. Suaranya lembut dan
dia seorang yang pemalu. Dia memperkenalkan diri dan kongsikan serba sedikit tentang
latar belakangnya. One shock after another, dia bukan sekadar punya rupa
Chinese look, mamanya memang cina, dan ayahnya siam. Dia penganut
Buddha dan usianya lebih muda 2 tahun dari saya.
Waktu ini saya
masih mentah, masih belum menyedari percintaan merentas agama dan ras budaya memang sesuatu yang unik dan perlukan banyak tolak
ansur, namun ada banyak juga perkara yang memang tidak boleh ditolak
ansur.
Pertemuan kali pertama tidak berakhir disitu, kami
sulami dengan pertemuan kali kedua ketiga dan seterusnya. Segalanya
berjalan baik dan kami bagaikan tidak boleh dipisahkan lagi. Masing-masing sudah kemaruk cinta. Suatu hari,
saat sidia ingin memperkenalkan saya pada mamanya, dia kelihatan pelik.
Cemas. Setelah didesak, separuh berbisik dia bersuara “Ayang, mama tak
suka melayu”. Saya kelu. Sidia bericadangan. “Bukak tudung dan tukar
baju kurung ni dengan baju lain”. Keliru dan cemas mendorong saya
lakukan seperti yang disuruh.
Saya dibawa ke sebuah rumah agak
mewah, besar dan cantik. Mamanya dilaman menyiram bunga. Saya di sambut
dan diperkenalkan dengan papa tirinya seorang Britain separuh abad.
dilaman ada meja putih ala 'english' dan kami berbual kosong disitu.
Sidia meminta diri ke dapur. Di saat itulah ibunya menyulam dengan
pertanyaan dan kata-kata yang pedih untuk saya telan.
“Awak
melayu?” “Ya auntie, saya melayu”. “Auntie tak suka melayu. Selalu buat
masalah. Suka ambil kesempatan. Share partner auntie dulu melayu, bawak
lari duit”. “Oo.. ye ke.. (saya buntu, tak tahu apa harus dibalas).
Mamanya menyambung lagi, “Adik auntie masuk Islam, waktu ibu auntie
mati, dia tak boleh sembahyangkan ibu auntie. Anak apa macam tu?”
“Err..”.
Si dia muncul dan perbualan berubah topik langsung
kami ketawa dan bergurau senda. Ibunya menjemput makan tengahari. Saya
enggan tapi sidia berkeras, katanya bukan tradisi tetamu dirumaahnya
menolak pelawaan tuan rumah. Apa saya boleh kata? Turutkan ajalah.
Dalam rumahnya dipenuhi hiasan-hiasan yang mahal. Meja makannya buatan
Italy. "RM15000 auntie import". Kata mamanya sambil tersenyum bangga
sedangkan saya tercengang terlopong. Saya buat kira-kira sendiri, itu
baru meja, belum lagi kerusi, kipas angin, lampu chandelier (tergeliat
nak sebut), hiasan dinding, tangga rumah ni agak-agak berapa la ya?
Hehe.. Didapur, susunan botol wain dan liquor membumbung dalam rak dan
setap satunya hanya di buka untuk acara tertentu. Ini pertama kali
tengok botol arak. Makin besar bukaan mulut yang melopong.
Tengahari itu saya dihidangkan steak untuk makan tengahari. Diatas meja berharga
ribuan ringgit itu, saya menjamah steak menggunakan tangan sahaja sebab secara
jujurnya saya anak melayu kampong yang memang tidak tahu bagaimana
caranya untuk bertingkah laku dihadapn manusia yang 'tinggi
peradabannya' ini. Ibu dan kakaknya ketawa lucu namun sidia yang sedang
makan segera berhenti, tersentak mungkin. Dia letakkan pisau dan garpu
dan turut makan menggunakan tangan. Usai makan saya mohon untuk dihantar
pulang.
Saat menghantar saya pulang, sidia menguntum senyum.
Melihat dia senyum, saya turut senyum, walau hati sedikit rasa tidak
selesa. Waktu itu saya tidak sedar tanda-tanda bahaya untuk diri saya
dan hubungan kami telah pun ternampakkan. Saya tidak sedar.

0 wanna say something? :
Post a Comment