Si dia melihat jam di tangan kanannya. Gadis pula sedang minum teh tarik, menikmati rasa. Pandangannya jatuh pada gelas teh tarik di hadapan si dia. Isinya masih ada separuh. Pukul berapa sekarang? Sengaja gadis bertanya. Empat puluh minit lagi, jawab si dia.Nanti awak tertinggal bas. Kata si dia itu tadi. Kalau tertinggal bas, hari ini dalam sejarah. Jawab gadis. Senyum. Kemudian mengulangi ayat terakhir. Hari ini, dalam sejarah. Si dia memandang gadis. Seperti mahu berkata sesuatu, tetapi tidak jadi. Lalu terus mengalihkan pandangan.
Stesen KTM RAWANG. Kereta saga warna merah berhenti. Namun pintu hadapan sebelah kiri masih belum dibuka. Gadis mahu mengambil peluang itu. Mengucapkan terima kasih. Untuk segalanya. Si dia mengangguk, tanda memahami. Menitip pesan beberapa baris pada gadis. Disulami kata maaf.
Gadis keluar dari kereta. Membuka pintu belakang. Mencapai beg galas warna putih. Menggalasnya di bahu kanan. Sambil tangan kirinya menutup pintu. Berjalan beberapa langkah, dia menoleh pada kereta warna merah. Si dia melambai tangannya. Gadis membalas. Kereta si dia pun berlalu pergi.
Gadis terus menuju ke kaunter tiket. Sambil berusaha menenangkan hati yang pedih. Berkali-kali dia meminta pada Tuhan. Kuatkan hati ini, Ya Allah, beri aku ketabahan. Melalui pandangan mata yang berkaca, dia melihat tren datang dari kejauhan.

0 wanna say something? :
Post a Comment