Biar aku yang muram, tidak mengapa. Tak perlu kau selalu pujuk. Tapi jangan dirimu yang rawan. Kerana aku tidak sanggup melihat kau dalam kesedihan. Kawan, kalaulah dapat aku buangkan sunyi yang kata kau - selalu bermukim dalam hati. Aku akan lontarkannya jauh-jauh ketika langit berwarna kirmizi.
Bila kau kata hati mu pedih, aku turut rasa sedih. Selalu aku berbisik pada Tuhan, apa yang dapat aku lakukan? Selalu aku bermohon pada Tuhan. Hadiahkan pada mu seberkas kecekalan. Terlupa aku untuk bertanya (di antara ruang-ruang jalinan kita). Dalam kejauhan ini, cukupkah hanya dengan kata-kata?
Kerana aku tidak dapat berada di sisi mu, temani kau waktu pilu. Membawa kau jauh dari kepungan kesedihan. Meleraikan segala kekusutan. Mungkin kau perlukan seseorang untuk temani, bersama melihat mentari pagi. Menenangkan dirimu dan berkata, ini bukan akhir dunia.
Kata pujangga, satu hari yang kita hadapi bersama, bermakna kurangnya satu hari yang ditentukan untuk kita bersama. Alangkah baiknya kalau aku tahu, bila waktu akan memisah kita. Sudilah nanti kiranya kau simpan kata-kata, doa penuh kasih yang pernah ku kirim, di sudut hati mu yang terdalam.

0 wanna say something? :
Post a Comment