Akhir-akhir ini, saya teringatkan Cry. Seorang yang saya kenali di alam maya
3 bulan yang lalu. Seorang yang pernah menyapa saya di Yahoo Messenger. Saya tidak tahu banyak tentang Cry. Saya cuma tahu, dia berumur 23 tahun. Belajar di sebuah IPTA di tanah air.
Cry hanya muncul sekejap dalam hidup saya. Tapi entah mengapa, kesannya agak mendalam juga. Bukannya kerana dia mahu mencuri hati. Saya tidak nampak langsung niat itu ada. Satu yang saya pasti, dia hanya memerlukan seseorang untuk berkongsi rahsia di jiwa.
Setiap hari saya dan Cry berbual. Sering dia bercerita tentang gadis pujaannya. Mereka satu tempat belajar. Namanya Ezdiana, beritahu Cry. Dari cerita Cry, saya membayangkan Dyna itu seorang gadis yang mudah didekati, namun bersifat jinak-jinak merpati. Cry mengakui, dia pernah memberi tujuh pucuk surat.Setiap satu sampul, tertulis satu huruf. Bila disusun kesemuanya, terbentuklah nama Ezdiana. Pada saya, Ezdiana itu masih menimbangkan perasaan. Ketidakpastian itulah membuatkan Cry tidak keruan.
Kadang saya termenung sendiri, membaca luahan Cry. Bertanya pada hati. Beginikah kita bila sangat mencintai? Keghairahannya memburu cinta Ezdiana, memang tiada apa pun yang dapat menandingi. Dia benar-benar mahu Ezdiana menjadi serikandi cintanya.
Tujuh hari berturut-turut saya berbual dengan Cry. Tetapi, hari-hari seterusnya, Cry tak muncul lagi. Saya fikir, mungkin Ezdiana sudah pun memberi jawapan. Mungkin cinta Cry dibalas, kerana terlalu gembira, Cry lupa memberitahu saya. Atau, terjadi sebaliknya?
Namanya di Yahoo Messenger terus kelabu sehingga kini. Cry hilang begitu saja. Saya akur dengan kenyataan. Beginilah hidup, adakalanya kita menjadi tempat persinggahan untuk manusia melepas lelah. Adakalanya kita menjadi manusia yang mahu menumpang teduh.
Saya akan mengenang Cry, sebagai seorang yang pernah hadir, mencalit warna pada kanvas kehidupan saya. Menunjukkan pada saya, hatinya yang dilimpahi rasa cinta. Cry, dengan siapa pun kamu berkongsi hidup sekarang ini, berbahagialah selalu.
Sunday, October 11, 2009
... tentang dia yang ku panggil Cry ...
Subscribe to:
Post Comments
(
Atom
)
0 wanna say something? :
Post a Comment